KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan memberi tempoh selama 48 jam kepada Yang Dipertua (YDP) Pas Bangi, Mohd Shafie Ngah untuk memohon maaf atau berdepan saman berkaitan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.
Kata pemimpin DAP itu, peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Mohd Shafie hari ini yang turut menuntut pampasan.
“Kenyataan-kenyataan yang dipertikaikan itu tidak benar sama sekali dan adalah fitnah terhadap saya. Saya tidak berhasrat mengulangi kenyataan-kenyataan memfitnah itu di sini,” katanya menerusi laman Facebook, hari ini.
Setiausaha Politik kepada veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang itu berkata, beliau terbuka untuk dikritik mengenai prestasinya sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun lalu.
“Tetapi Perikatan Nasional (PN) lebih berminat main politik kebencian dan fitnah. Saya yakin rakyat Bangi bijak menilai,” katanya.
Kenyataan-kenyataan terhadap Syahredzan dibuat pada dua majlis Perikatan Nasional yang berasingan pada Oktober tahun lepas dan awal bulan ini. – MalaysiaGazette