Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Biarpun Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh akan mengumumkan senarai calonnya pada 20 Julai depan, namun Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau belum menerima arahan untuk pengumuman calon.

Jelas Ketua Setiausaha PH itu lagi, beliau hanya diarahkan untuk menyiapkan dokumen untuk tandatangan watikah pelantikan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos kelak.

“Bagi isi watikah nama siapa itu Pengerusi PH (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan maklum dalam masa terdekat.

“Yang penting sebelum 29 (Hari Penamaan),” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Anwar dalam mesyuarat Kerajaan Perpaduan semalam berkata pengumuman calon bagi PH akan diumum beberapa hari lagi selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pada 21 Julai depan untuk senarai calon.

Semalam, Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan telah memuktamadkan pembahagian kerusi di keenam-enam negeri.

Namun Anwar berkata hanya terdapat satu atau dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang belum diselesaikan dan boleh diselesaikan dalam mesyuarat yang berlangsung malam tadi.

Sementara itu, Saifuddin Nasution turut ditanya berhubung dakwaan bahawa MCA dan MIC tidak akan sokong calon PH, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

“Itu teritory (bidang kuasa) BN, saya tidak mahu komen apa-apa. Kerjasama kita (PH-BN) adalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan timbul dakwaan MCA dan MIC mengambil keputusan tidak mahu berkempen bagi calon PH pada PRN 12 Ogos depan setelah kedua-dua parti itu dikatakan tidak dilayan secara adil dalam isu rundingan kerusi.

Bagaimanapun, pucuk pimpinan MCA dan MIC tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan itu.

Pada 5 Julai lalu, MCA dan MIC memutuskan untuk tidak menyertai PRN dan kerusi yang diperuntukkan kepada dua parti itu kemudian diserahkan kembali kepada BN. – MalaysiaGazette