Pegawai kanan polis kontinjen KL ditahan SPRM selepas disyaki melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai khas kepada mantan menteri selepas disyaki meminta wang rasuah kira-kira RM25,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.

Sumber SPRM memaklumkan lelaki yang juga penjawat awam berumur 40-an itu ditahan kira-kira 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati lelaki yang merupakan bekas pegawai khas yang berkhidmat pada 2019 itu didakwa telah meminta wang rasuah daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan untuk anak kandungnya.

“Pada Jun lepas, suspek telah menghubungi individu terlibat yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015 yang memaklumkan bahawa surat kelulusan permohonan itu telah ada padanya dan meminta individu terbabit membayar wang berjumlah RM25,000 sebelum menyerahkan surat tersebut,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, penahanan lelaki berkenaan dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya SPRM menyiasat amalan rasuah segelintir pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara.

Susulan penahanan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan lelaki terbabit direman tiga hari bermula hari ini hingga 14 Julai setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – Bernama