Gambar hiasan

MANJUNG – Seorang wanita yang bertarung nyawa selama dua hari akibat dibakar suaminya di kediaman mereka di Kampung Bharu, di sini, dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kakak suspek berhubung kejadian pada jam 6.42 petang Isnin lalu.

Jelas beliau, mangsa yang berusia 33 tahun dibawa ke Hospital Seri Manjung bagi menerima rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 12.20 tengah hari tadi.

“Bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian.

“Manakala suspek berusia 28 tahun ditahan di sebuah restoran di Lumut  kira-kira jam 11 malam, semalam.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 18 Julai ini bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohamed Nordin, punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati dengan mangsa dan keluarganya kerana menuduh lelaki itu mengambil dadah.

“Turut dirampas bahan bukti bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – MalaysiaGazette