Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) atau decanting dalam satu serbuan di sebuah premis tanpa nama di Kampung Pantai, Tanjung Sepat, Selangor 5 Julai lalu.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 1 petang itu hasil risikan yang dilakukan selama satu bulan sebelum operasi dilakukan.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Shamsul Nizam Khalil berkata, tiada inidividu ditemui semasa serbuan dilakukan.

Namun hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut pasukan serbuan telah menemukan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan gas petroleum cecair (LPG) daripada tong LPG berkapasiti 14kg bersubsidi kepada tong LPG berkapasiti 50kg.

LPG 50kg itu seterusnya akan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran.

Menurutnya, modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli LPG 14kg bersubsidi terus daripada lori-lori penghantaran LPG di sekitar daerah Sepang dan Banting.

LPG bersubsidi tersebut kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit seterusnya akan dipindahkan ke tong LPG 50kg untuk kegunaan industri.

“Beberapa tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, kenderaan jenis lori tiga tan, alat timbang, hos penyambung serta beberapa dokumen perniagaan lain yang turut ditemui telah disita bagi siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM94,479.40,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shamsul Nizam menambah, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti
individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran LPG terbabit.

KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi
RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan LPG.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast