Rais (dua dari kanan) meninjau kawasan selepas merasmikan Program Kesedaran Kebersihan Jonker Walk Melaka di Jonker Walk, Jalan Kubu, Melaka hari ini.

MELAKA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka diarah menyegerakan laporan penuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang yang diteruskan selepas terbengkalai enam tahun lalu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Malaka, Datuk Rais Yasin berkata, projek itu penting bagi mengatasi kejadian banjir kilat berulang khsususnya di dua buah kampung di Sungai Rambai.

“Saya lihat isu banjir kilat khususnya di Kampung Lancang dan Kampung Janda Berhias ini kerap berlaku sampai tiga kali sejak saya dilantik Exco di bawah portfolio baharu Mac lalu.

“Terbaharu, semalam dalam lawatan ada 44 mangsa melibatkan 11 keluarga yang mana saya difahamkan antara punca utama boleh menyelesaikan masalah banjir ini adalah projek RTB ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesedaran Kebersihan Jonker Walk Melaka di Pejabat Persatuan Jonker Walk, Jalan Kubu di sini hari ini.

Datuk Rais Yasin

MalaysiaGazette pada Mac lalu melaporkan, lebih 5,000 penduduk khususnya di 13 kawasan sekitar Sungai Rambai merayu kerajaan meneruskan semula projek RTB Sungai Rambai-Sungai Kesang yang terbengkalai sejak enam tahun lalu.

Menurut mereka, kegagalan kerajaan meneruskan projek yang telah 40 peratus siap dan terbiar sejak 2017 itu menjadi punca lebih banyak kawasan terjejas banjir kali ini berbanding sebelumnya.

Mengulas lanjut, Rais sudah meminta JPS memberi laporan penuh bila projek RTB berkenaan yang sedang berjalan dapat disiapkan.

“Cumanya saya berharap mangsa banjir dapat memberikan sedikit masa kerana ia projek ini melibatkan isu yang berbeza di sempadan antara Melaka dan Johor.

“Kita juga faham mengenai faktor keadaan rumah di sana yang berada di kawasan rendah menyebabkan air dari Sungai Kesang melimpah ke kampung berkenaan bila berlaku hujan lebat,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada agensi berkaitan termasuklah Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Angkatan Pertahanan Awam kerana telah melaksanakan tugas dengan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast