Rahmat Ariffin Foto: FB Polis Daerah Iskandar Puteri.

JOHOR BAHRU – Polis memberkas dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel elektrik di kawasan Teega Suites Puteri Harbour di Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin berkata, kesemua individu berusia lingkungan 30-an itu ditahan sekitar Iskandar Puteri dan Kulai antara 12.15 tengah malam hingga 3.10 pagi.

“Kesemua individu yang ditahan mengaku terlibat dalam kes itu dan mereka dipercayai telah aktif dengan kegiatan mencuri kabel sejak awal tahun ini… hasil semakan turut mendapati mereka mempunyai 12 rekod jenayah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas kabel elektrik yang dianggarkan bernilai RM15,000 dan ujian air kencing mendapati dua lelaki terbabit positif dadah jenis metamfetamina.

“Selain itu, seorang lelaki didapati mempunyai rekod dikehendaki membabitkan kes narkotik manakala wanita itu pula dikehendaki bagi kes jenayah komersial,” katanya.

Kesemua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan. – Bernama