Gambar hiasan.

PONTIAN –  ‘Geng Eddy’ yang dianggotai lima lelaki termasuk seorang bekas pemain bola sepak, yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di siang hari tumpas, selepas ke semua mereka ditahan 3 Julai lalu.

Ketua Polis Pontian Mohammad Shofee Tayib berkata dengan penangkapan lima lelaki berusia 24 hingga 34 tahun itu, pihaknya telah berjaya menyelesaikan 13 kes di daerah Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar.

Beliau berkata geng berkenaan dipercayai mula aktif semenjak Mei lepas, dengan menjadikan rumah yang kosong pada siang hari sekitar pukul 2 hingga 3 petang setelah pemiliknya keluar bekerja, sebagai sasaran mereka.

“Mereka akan mengumpil pintu pagar dan tingkap sebelum masuk ke dalam rumah dan mencuri barangan berharga seperti barang kemas, wang tunai, jam dan beg berjenama.

“Sebelum tangkapan dilakukan, kesemua dipercayai sedang memecah masuk sebuah rumah di Sanglang, Benut, yang kemudiannya disedari pemilik seterusnya dikejar sebelum kereta yang dinaiki suspek terbabas berhampiran lokasi,” katanya kepada pemberita.

Mohammad Shofee berkata dua daripada suspek berjaya ditahan setelah kereta terbabas, namun tiga yang lain berjaya melarikan diri dan kemudiannya ditahan di dua lokasi berbeza di sekitar Forest City, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, pada hari yang sama.

“Kesemua rampasan dalam kes ini adalah RM350,000, selain kesemua yang ditahan positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah. Mereka direman sehingga 17 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast