Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022 di Majlis Peperiksaan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2023.

SELAYANG –  Beberapa istilah dalam institusi pendidikan Tingkatan Enam akan dijenamakan semula sebagai usaha memberi imej baharu yang lebih berprestij.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Kolej Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti KPM berkuat kuasa serta-merta.

“Jawatan pengetua akan ditukar kepada Pengarah, termasuk jawatan guru penolong kanan diubah kepada Timbalan Pengarah.

“Manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ‘Malaysian University English Test’ (MUET) serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2022, di sini hari ini.

Artikel berkaitan: Tingkatan 6 tidak perlu terikat sangat dengan peraturan sekolah -PM

KPM sambut baik saranan PM tambah baik Tingkatan Enam

Fadhlina menambah, pengarah Kolej Pra-Universiti diberi kuasa autonomi dalam proses pengambilan pelajar Tingkatan Enam secara terus, sekiranya pelajar dikenalpasti berkelayakan.

“Pembaharuan ini adalah untuk memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di bawah institusi Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sebelum ini proses kemasukan ke Tingkatan Enam ini adalah melalui tawaran daripada KPM dan mungkin ada yang terlepas pandang, ada yang berpotensi, mungkin ada yang nak sambung (belajar) tetapi tidak berpeluang.

“Autonomi ni membolehkan pengetua mengenal pasti sendiri pelajar yang berpotensi dan barangkali memerlukan bimbingan dan menawarkan pelajar mengikut pengajian di Tingkatan Enam,” katanya lagi.

Menurut Fadhlina, pemberian autonomi kepada pengetua Kolej Pra-Universiti itu dilihat sebagai langkah paling efektif dan efisien bagi mengurangkan kadar keciciran pelajar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast