Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang buruh warga Myanmar yang telah lapan tahun melarikan diri daripada pihak berkuasa, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini atas pertuduhan membunuh seorang pekerja dobi warga Bangladesh, pada 2015.

Ajib Kham, 37, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian pemuda Bangladesh, Uzzal Ali, 28, di Jalan 2/2, Pandan Cahaya, di sini, pada 8.30 malam, 5 Sept 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Okt depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohd Azam Ismail, dilaporkan berkata suspek ditahan dalam satu serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 12.30 tengah malam, 23 Jun lepas.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast