Wan Saiful Wan Jan menunjukkan hantaran TikToker yang didakwa memfitnahnya hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak pernah mengeluarkan kenyataan kononnya beliau mahu memulangkan dana Jana Wibawa berjumlah RM6.92 juta jika kes rasuahnya dibatalkan.

Beliau juga menegaskan tidak pernah membuat tawaran itu kepada mana-mana pihak dan konsisten dengan pendiriannya mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebelum ini.

“Dalam video tersebut mengandungi beberapa perkara, bagi saya palsu dan tidak benar. Dia mendakwa seolah-olah saya mengaku atas kesalahan yang dituduh, saya tak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu.

“Latar belakang video seolah-olah satu laporan media menggunakan nama seorang wartawan yang kononnya wujud.

“Dia dakwa saya buat tawaran untuk pulangkan balik wang didakwa saya ambil rasuah sebagai syarat, dakwaan terhadap saya mesti dibatalkan oleh pihak pendakwaraya.

“Saya tak pernah buat kenyataan dan tawaran tersebut, saya tak mengaku apa-apa malah pengakuan saya mengaku tidak bersalah,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu membuat laporan polis terhadap seorang ahli UMNO kerana mengeluarkan satu video fitnah di akaun TikTok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Wan Saiful juga membuat laporan sama di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada hari sama.

Dalam laporan itu, pemimpin parti Bersatu itu menamakan pemilik akaun TikTok itu, Mohd Shukri Samsudin kerana menerbitkan video fitnah berdurasi 15 saat itu pada 3 Jun 2023 menggunakan akaun @shukrisamsudin_official.

Antara kenyataan Tiktoker tersebut ialah, “Nak pulang balik…oh nak pulang wang Jana Wibawa tu yeah, akhirnya mengaku juga la kan, memang ambil kan, owh takde la bersih sangat, yang lain-lain tu macam mana”.

Dalam pada itu, Wan Saiful telah mengarahkan peguamnya menghantar notis tuntutan terhadap pelaku itu termasuk permohonan maaf dan ganti rugi dalam tempoh 14 hari.

“Saya menuntut supaya beliau meminta maaf, membuat pengisytiharan terbuka bahawa apa yang beliau lakukan satu fitnah dan pembohongan yang berniat jahat.

“Saya juga menuntut ganti rugi terhadap kerosakan kepada imej dan reputasi saya. Jumlah ganti rugi akan ditentukan kemudian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette