monopoli Bernas pihak sanusi
Ahmad Yahya

KUALA LUMPUR – Tuduhan semberono terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor termasuk dalam isu banglo mewah milik abangnya menggambarkan masih ada setengah pihak menggunakan hipokrasi politik.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya berkata, pihaknya mengecam tindakan pihak tertentu yang menggunakan serangan fitnah bagi menjatuhkan lawan politik khususnya berkaitan dengan hal peribadi Muhammad Sanusi.

“Apakah mereka tiada lagi modal untuk membahaskan prinsip politik dan dasar yang cemerlang sepanjang pentadbiran beliau sehinggakan isu-isu peribadi yang tidak bersangkutan turut diheret ke medan politik?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Muhammad Sanusi menafikan banglo mewah di Sik yang tular dalam media sosial baru-baru adalah miliknya dan ia sebenarnya adalah kepunyaan abangnya yang bernama Budin.

Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas memberitahu, tuduhan semberono sebegitu sememangnya menjadi amalan politik Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, sejak awal mereka mengambil alih pentadbiran lagi, pelbagai tuduhan yang menyimpang dihalakan kepada Perikatan Nasional (PN).

“Mereka menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin terlibat dalam rasuah sedangkan kes tersebut belum pun dibicarakan dalam mahkamah.

“Begitu juga tuduhan ke atas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini ketika beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air oleh Rafizi Ramli. Namun, ia terus menyepi sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Ahmad menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menuduh PN menerima dana daripada syarikat perjudian namun akhirnya terbukti ia satu fitnah dan pembohongan.

“Satu Malaysia menyaksikan pembohongan dan fitnah menjadi ‘makanan’ mereka dalam berpolitik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast