gaji penjawat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Cakna Madani bersama Agensi Penguatkuasaan Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mencadangkan kenaikan gaji penjawat awam dilakukan secara berperingkat mengikut keupayaan ekonomi negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan itu akan dikemukakan dalam mesyuarat pertama bagi meneliti skim perkhidmatan penjawat awam dan pesara kerajaan yang bakal dipengerusikannya dalam masa beberapa hari lagi.

“Tetapi saya nak saudara yakin, Anwar di sini bagi jaminan, saya akan berikan apa sahaja yang munasabah dan adil kepada penjawat awam,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, sebelum ini, belum ada jawatankuasa khas yang dipengerusikan Perdana Menteri bagi mengkaji semula gaji penjawat awam.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengumumkan tiga inisiatif baharu yang dilancarkan Kerajaan Perpaduan khusus untuk pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan.

Menurut beliau, inisiatif pertama melibatkan kajian bagi memperkasa organisasi dan menambah baik laluan kerjaya kepada pegawai dan anggota skim penguat kuasa.

Selain itu, katanya, di bawah inisiatif kedua, mana-mana agensi yang berjaya mencapai kutipan hasil melebihi sasaran, dicadangkan pemberian dalam bentuk pemerkasaan peralatan, kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan.

Di bawah inisiatif ketiga pula, Anwar berkata, kerajaan telah bersetuju Elaun Pakaian Seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) ditambah baik kepada kaedah bekalan Kemudahan Pakaian Seragam dengan melibatkan implikasi kewangan RM5,502,780 setahun.

Inisiatif tersebut melibatkan enam agensi iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Penjara, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast