PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

PADANG BESAR – Cubaan seorang penganggur menyembunyikan dua ketulan mampat disyaki ganja di bawah tempat duduk motosikalnya berjaya dikesan polis dalam serbuan Ops Tapis Khas Se-Malaysia di sebuah inap desa di Kubang Tiga, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, serbuan dan penahanan terhadap lelaki berusia 26 tahun itu dilakukan kira-kira 2.45 petang.

“Dua ketulan mampat disyaki ganja seberat dua kilogram itu dianggar bernilai RM6,200 dan siasatan awal mendapati lelaki itu memperoleh dadah berkenaan daripada ejen penyeludup yang melalui jalan tikus dari negara jiran,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki polis.

Katanya, lelaki berkenaan positif terhadap dadah jenis Methamphetamine dan dia kini direman seminggu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mohd Shokri berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar telah membuka 32 kertas siasatan sepanjang Op Tapis Khas Se-Malaysia yang bermula 10 Julai lepas hingga semalam.

Katanya, operasi itu turut menahan 39 individu dan merampas pelbagai dadah yang dianggar bernilai RM17,775. – Bernama