Abdul Rahim (kiri) bersama Mohd Soffi pada sidang media keputusan STPM 2022 di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Orang Asli dari Pahang antara pelajar cemerlang Sijii Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) peringkat kebangsaan pada setiap tahun membuktikan golongan itu tidak pernah tercicir dari agenda pembangunan pendidikan.

Timbalan Pengarah Sektor Pelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Abdul Rahim Mohd Yunus berkata, rekod positif dari masyarakat itu dicatat selama tiga tahun berturut-turut sehingga kini.

”Tahun ini seorang calon dari SMK Muadzam Shah, Rompin, Mazwin Faulin a/p Mohd Azlin dinobatkan sebagai calon dengan pencapaian terbaik kebangsaan bagi kategori Orang Asli.

”Manakala tahun sebelumnya, pelajar Orang Asli cemerlang peringkat kebangsaan dari Bentong dan Rompin,” katanya ketika sidang media Majlis Pengumuman Keputusan STPM Sekolah-sekolah Pahang di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media, Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak.

Dalam perkembangan sama, keputusan STM 2022 di Pahang juga menyaksikan seramai 78 pelajar memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 59 calon tahun sebelumnya.

Abdul Rahim berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.88 peratus merupakan seorang calon daripada aliran Sains manakala 77 lagi adalah pelajar aliran kemanusiaan.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang, Bera muncul sebagai sekolah yang melahirkan calon mendapat PNGK 4.00 paling ramai dengan lapan calon,” katanya.

”Seramai 2009 daripada 2,076 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM 2022 dengan peratus kehadiran sebanyak 96.7.

”Daripada jumlah itu, seramai 1,997 orang calon atau 99.40 peratus telah mendapat kelulusan penuh iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh,” ujarnya.

Tambah Abdul Rahim, sebanyak 41 sekolah bantuan penuh kerajaan telah mendaftar calon dan 32 daripadanya mencapai prestasi kelulusan penuh 100 peratus manakala sembilan lagi mencapai kelulusan melebihi 90 peratus.

SMK Dong, Raub dengan 26 calon menunjukkan prestasi cemerlang STPM di negeri ini dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 3.8 mata dan 100 peratus calon sekolah terbabit memperoleh kelulusan penuh empat mata pelajaran. – MalaysiaGazette