Foto Facebook TFC.

KUALA TERENGGANU –  Terengganu FC meminjamkan dua pemainnya, Muhammad Azarul Nazarith Azhar dan Muhammad Faiz Mohd Nasir secara rasminya ke pasukan Kelantan United FC sehingga akhir musim ini.

Menerusi satu hantaran dalam laman sosial rasmi kelab itu hari ini, kedua-dua pemain itu dipinjamkan kepada pasukan The Green Deers sehingga akhir musim sekali gus menyaksikan dua pemain itu tidak dapat beraksi di pentas Asia.

Ini menyaksikan impian Faiz dan Azarul Nazarith untuk beraksi dalam kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) bulan depan berkecai selepas mereka diketepikan pasukan dari Pantai Timur itu.

“Terengganu FC mengucapkan selamat maju jaya buat kedua-dua pemain ini,” menurut kenyataan media rasmi kelab berkenaan.

Berdasarkan rekod, Faiz, 31, yang juga bekas pemain tengah kebangsaan mula menyarung jersi skuad TFC buat kali pertama pada 2017 hingga 2018 sebelum berkelana bersama pasukan Selangor FC pada 2019 dan kembali menyarung jersi skuad Penyu bermula 2020.

Azarul Nazarith, 25, pula yang juga bekas pertahanan skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan mula menyarung jersi TFC pada 2021 daripada pasukan FELDA United.

Terdahulu Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menamatkan kontrak pemain tengah, Domogoj Pusic selepas aksi tidak konsisten diperagakan pemain kelahiran Croatia itu yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan. – MalaysiaGazette