Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hadir pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 14 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Seramai 18.7 juta pelancong dan pengunjung dijangka datang ke Melaka tahun depan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah berkenaan selaras dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka (TMM) pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM25 juta daripada Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ujar beliau pelbagai promosi sepanjang tahun depan akan mulai digerakkan dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Kerajaan Negeri sedang mempergiat usaha untuk mempromosikan sektor pelancongan sepanjang tahun ini termasuk memperindah serta menaik taraf produk-produk pelancongan,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran TMM 2024 malam ini.

Hadir merasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tambah Rauf, kerajaan negeri berkenaan akan turut mewujudkan pelbagai Pakej Pembangunan Pelancongan yang menarik sebagai persediaan sempena TMM 2024.

Selain itu katanya pelbagai program menarik dan manfaat yang boleh diraih oleh pelancong dalam dan luar negara sepanjang TMM tahun depan.

Sehubungan itu beliau menyeru dan mengajak semua penggiat industri pelancongan di Melaka termasuklah seluruh negara untuk bersama-sama kerajaan negeri menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 ini.-MalaysiaGazette