Ketua Eksekutif Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), P. Muralitharan bersama dengan 501 unit kondum yang telah dirampas di Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA – Sebanyak 501 unit kondom yang tidak berdaftar berjaya dirampas Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Ia dianggarkan bernilai RM5,000, kata Ketua Eksekutif MDA, P. Muralitharan.

Menurut beliau, rampasan itu dilakukan dalam satu serbuan terhadap sebuah syarikat yang tidak mempunyai lesen establismen di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah.

Dalam serbuan itu, seramai 12 pegawai membabitkan sembilan pihak berkuasa MDA dan tiga anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Semakan mendapati kebanyakan peranti perubatan tersebut dijual kepada individu secara langsung dan dalam talian.

“Syarikat yang telah beroperasi selama tiga tahun itu telah mengedar kondom tidak berdaftar di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737),” katanya.

P. Muralitharan

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan serbuan terhadap premis tidak berdaftar di sini hari ini.

Tambah Muralitharan, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 5(1) Akta Peranti Perubatan (Akta 737) dan Seksyen 15(1) akta yang sama.

Mengulas lanjut, katanya, serbuan tersebut dibuat bagi mengekang peranti perubatan tidak berdaftar berada di dalam Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan jumlah statistik rampasan yang dilakukan bermula Januari sehingga kini dianggarkan bernilai RM500,000.

“Rampasan itu melibatkan peranti perubatan seperti kanta lekap, pelitup muka perubatan, sarungan tangan perubatan, kit ujian kendiri Covid-19 dan banyak lagi.

“Kebanyakkan rampasan tersebut dilakukan di Lembah Klang termasuk di pusat bandar metropolitan di seluruh negara,” ujarnya.

Pada tahun ini juga MDA telah membatalkan sebanyak lima lesen syarikat penjual, pengeluar dan pengedar peranti perubatan di dalam negara.

Justeru, MDA mengingatkan kepada semua peruncit, penyedia perkhidmatan kesihatan dan orang awam untuk menyemak dahulu status lesen establismen serta sijil pendaftaran peranti perubatan.

Ia boleh dilakukan menerusi laman sesawang MDA di www.mda.gov.my dan juga sistem carian peranti perubatan di mdar.mda.gov.my.

Sebarang aduan berkaitan peranti perubatan tidak berdaftar atau syarikat yang tidak mempunyai lesen establismen boleh disalurkan kepada MDA menerusi Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (FEMES) agar tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera. – MalaysiaGazette