Foto melawat fasiliti SpaceX yang dikongsi semula oleh Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kongsi semula hantaran melawat fasiliti SpaceX milik Elon Musk di Amerika Syarikat pada 19 Mei 2022.

Perkongsian semua berkenaan menarik perhatian selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dan perbincangan secara maya dengan Musk pagi tadi.

Azmin bagaimanapun tidak meletakkan sebarang kenyataan terbaharu dalam perkongsian semula berkenaan.

Dalam hantaran yanng dikongsi itu, Azmin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pasukan Starlink iaitu Andrew Matlock, Jonathan Hofeller, Samuel (Chad) Gibbs and Rebecca Hunter.

“Saya juga berpeluang melawati kemudahan tapak pembuatan SpaceX, di mana segala-galanya dibina secara dalaman, daripada bahan kepada struktur yang telah siap.

“Kami berharap untuk mengalu-alukan kehadiran SpaceX dan Starlink di Malaysia untuk perkhidmatan internet satelit terbaik yang boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia untuk menjadi lebih produktif, inovatif, cekap dan berdaya saing; membolehkan kemudahan perhubungan yang mantap untuk pengguna di seluruh negara,” katanya dalam hantaran pada 2022.

Perbincangan Anwar dan Musk hari ini antara lain mengenai pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.

Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menjelaskan, kerajaan mengalu-alukan minat serta keputusan pelaburan syarikat berkenaan ke Malaysia dan juga kesediaan Elon untuk datang ke negara ini.

Katanya, Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla juga akan dibuka di Selangor tahun ini,

Pertemuan maya Anwar dengan Elon itu bermula pada jam 9.30 pagi tadi dan berlangsung selama kira-kira 25 minit.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas di Malaysia.

“…terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” kata Anwar.

Turut menyertai sidang maya itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast