Pimpinan MUDA bersama calon-calon parti itu.-Foto Twitter Amira Asiya.

KUALA LUMPUR – Calon yang mewakili parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) merupakan cerminan terbaik rakyat Malaysia.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz  bangga kerana partinya menampikan calon yang mewakili kepelbagaian bangsa, agama, kaum dan jantina.

“Saya nak semua tahu yang mereka bukanlah token semata-mata tetapi saya percaya bahawa mereka adalah cerminan yang terbaik.

“Mereka adalah cerminan sebenar rakyat Malaysia yang idealistik, patriotik dan rajin,” katanya melalui ciapan di Twitter.

Semalam MUDA mengumumkan empat calon yang akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Calon tersebut ialah Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi yang dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N29 Seri Serdang.

Selain itu, Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen di N41 Batu Tiga, Thanusha Ramanieswaran (N48 Sentosa) dan Melanie Ting Yi Hlin (N19 Bukit Antarabangsa).

Amira Aisya memberi jaminan berdasarkan komitmen dan cara calon bekerja beliau pasti mereka akan berikan yang terbaik untuk kawasan yang diwakili.

“Amir adalah sahabat yang saya sangat hormati. Saya lihat bagaimana Amir kekal teguh dengan pendiriannya tak kira apa sahaja ugutan dan tindakan yang dilemparkan.

“Daripada awal penubuhan MUDA hingga ke hari ini, Amir kekal sebagai tulang belakang MUDA.

“Saya sebenarnya ada berasa sebak kerana daripada empat calon MUDA yang diumumkan tiga adalah wanita,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu.

MUDA yang menjadi sebahagian parti menyokong Kerajaan Perpaduan mengambil ‘jalan berasingan’ dalam pilihan raya yang akan berlangsung di enam negeri.

Pada 26 Jun lalu MUDA memutuskan untuk bergerak secara solo dan bakal menyaksikan parti itu bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pilihan raya negeri di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu telah ditetapkan pada 12 Ogos depan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak cermin kan pon…rakyat Malaysia skrg menuju negara tua..bukan muda…dan tak cerminkan pun presiden kaki sakau…rakyat Malaysia tak suka kaki sakau

Comments are closed.