Tun Faisal Ismail Aziz

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, keputusannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau telah hilang rasa sayang terhadap UMNO selepas parti itu diterajui Ahmad Zahid berikutan kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 2018.

“Selagi Presidennya Zahid, saya tak ada rasa sayang. UMNO saya adalah UMNO yang lama, bukan UMNO Zahid, bukan UMDAP. Prinsip perjuangan saya dari dulu sebenarnya Islam, ummah, agama, bangsa dan tanah air.

“Akhirnya kerana peranan, saya pilih Bersatu, itu sebab kenapa saya pilih Bersatu dan kenapa rasa perasaan sayang lepas PRU15 sudah tiada lagi,” katanya yang mendakwa UMNO kini tidak lagi boleh diharap sebagai suara orang Melayu dan Islam.

Mengulas lanjut, Tun Faisal juga mendakwa UMNO adalah parti paling lemah dalam kerajaan perpaduan kerana presidennya bermasalah dan mempunyi kes mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang keputusannya menyertai Bersatu baru-baru ini.

Beliau dipecat daripada UMNO pada 31 Januari lalu. Beliau sebelum itu digantung oleh parti selama enam tahun kerana membuat kenyataan terbuka menentang Ahmad Zahid.

Sementara itu, Tun Faisal yang pernah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata, beliau mula tawar hati terhadap parti apabila UMNO membuat keputusan menyertai Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, beliau cenderung mahu parti menyertai Perikatan Nasional dan keputusan UMNO bersama-sama Pakatan Harapan dilihat sebagai agenda menyelamatkan keududukan presiden.

“Mereka lebih melihat kepada pertimbangan untuk menyelamatkan Presiden dan kerusi PRU16 berbanding perjuangan Islam dan ummah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tun Faisal menerima watikah keahlian daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) PN Negeri Sembilan di Seremban, 9 Julai lalu..

Bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa itu memilih menyertai Bersatu selepas mengambil kira peranan yang boleh dimainkannya dalam parti itu berbanding Pas.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast