Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 14 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 perlu dijadikan platform untuk menambah baik kualiti dan kepelbagaian produk serta perkhidmatan pelancongan di negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepanjang tahun depan,  produk tempatan negeri tersebut perlu diketengahkan dan diperkenalkan kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Bersama kita jadikan TMM 2024 sebagai medan untuk menambah baik kualiti dan kepelbagaian produk dan perkhidmatan pelancongan yang ada di negeri bersejarah ini.

“Usaha yang berterusan melibatkan komuniti tempatan mesti dipergiatkan, perkemaskan latihan industri, peluang mewujudkan kolaborasi antara pihak swasta dan badan-badan NGO perlu dirancakkan serta pada masa yang sama memelihara warisan budaya tempatan agar dapat dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya ketika Majlis Pelancaran TMM 2024 di MATIC hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tambah beliau, TMM pada tahun depan juga perlu dimanfaatkan untuk  projek-projek pelancongan yang ditransformasikan dengan tadbir urus negeri yang baik.

“Merancakkan lagi projek-projek pelancongan, mengadaptasi penggunaan digital dan meningkatkan modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan yang akan memajukan negeri,” jelasnya.

Menjadi sebahagian daripada sumbangan pendapatan pelancongan dalam negara,  Zahid turut yakin TMM 2024 bakal menjadi ikon penting bagi negeri berkenaan. -MalaysiaGazette