SEPANG — Longgokan kayu yang terdapat di kilang memproses habuk kayu berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Melut, Dengkil di sini terbakar hari ini.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.12 pagi tadi yang memaklumkan mengenai kebakaran di Sunsuria City, Kota Warisan di sini.
Katanya, bertindak atas aduan itu sepasukan anggota bomba dengan enam jentera pemadam api dari BBP KLIA dan Balai Bomba Cyberjaya dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihak Bomba mendapati kebakaran melibatkan longgokan kayu bersebelahan kilang kayu berkeluasa 40×40 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kerja-kerja pemadaman api masih diteruskan dan dijangka bersambung sehingga malam.
Sehubungan itu jelas BBP KLIA, punca kebakaran masih belum dikenal pasti. -MalaysiaGazette