KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek akan membahagikan masanya untuk bertemu rakyat di luar waktu pejabat bagi memastikan kemenangan parti itu di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Pendidikan itu berkata, rakyat perlu diberi pencerahan mengenai proses demokrasi sebenar dan apa pilihan terbaik untuk negara.
Selain itu penerangan mengenai kestabilan yang akan memberi keuntungan kepada rakyat dan negara juga perlu diambil kira.
“Rakyat mesti menolak politik fitnah, kebencian dan perkauman yang hanya membawa perbalahan, permusuhan dan kecurigaan sesama kita.
“Kita mahukan politik sihat yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Pemimpin yang mengangkat martabat rakyat dengan usaha pembasmian kemiskinan, di Kementerian Pendidikan kita mahu noktahkan isu keciciran pelajar.
“Kita angkat budaya ilmu, galakkan membaca, mengkaji dan berfikir,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Fadhlina tidak mahu rakyat keliru dengan penipuan dan fitnah yang disebar pembangkang.
Pada masa sama, beliau akan memastikan rakyat memahami usaha kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang giat dilaksanakan. – MalaysiaGazette