Rafizi Ramli.-Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendakwa 80 peratus daripada hasil Kerajaan Negeri Kedah diperoleh daripada pelaburan infrastruktur yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurut Rafizi, hasil daripada kawasan industri Taman Teknologi Tinggi Kulim yang dijayakan oleh Kerajaan Persekutuan telah digunakan untuk membayar gaji dan perbelanjaan negeri itu.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian selepas Perikatan Nasional (PN) mendakwa kononnya Kerajaan Persekutuan menghukum Kedah dan dianaktirikan.

“Saya ada satu soalan sahaja – buat apa Kerajaan Persekutuan nak mengetepikan Kedah? Dalam demokrasi, logiknya mudah – kita buat baik untuk rakyat agar rakyat terus memberi sokongan kepada kita.

“Yang PN tak pernah sebut ialah hasil-hasil yang kini dinikmati oleh Kedah berpunca daripada pelaburan infrastruktur yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kulim Hi-Tech Park.

“Yang PN tak pernah sebut ialah 80% daripada hasil kerajaan Negeri datang daripada kawasan perindustrian dan pembandaran sekitar Kulim Hi-Tech. Hasil inilah yang bayar untuk gaji dan pembelanjaan Kerajaan Negeri Pas,” kata Rafizi.

Beliau mengingatkan pembangkang bahawa Taman Teknologi Tinggi Kulim tidak muncul secara tiba-tiba sebaliknya ia melibatkan perancangan dan penelitian yang mengambil masa bertahun lamanya sebelum ia mula dibina.

Rafizi menegaskan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji dan mengenal pasti penyelesaian mendalam yang mampu membawa kemajuan kepada negeri secara jangka panjang.

Justeru menurut Rafizi, beliau sedia mendengar tawaran atau idea daripada PN dalam membangunkan ekonomi.

Menteri Ekonomi itu juga berkata, jika terdapat kajian kemungkinan atau angka-angka yang dikemukakan adalah logik, beliau akan memberikan kerjasama untuk menjayakan projek yang diusulkan.

“Jadi buat masa sekarang, saya fikir lagi baik PN ambil masa fikir dan terang kepada rakyat apa tawaran dan idea mereka untuk bantu rakyat daripada ulang benda yang sama setiap hari,” kata Rafizi dalam ciapan di Twitter.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast