Rafizi Ramli.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa beliau kini terpaksa membahagikan masa antara menguruskan ekonomi negara dan menjawab tuduhan parti lawan.

Ahli Parlimen Pandan itu menggunakan sepenuhnya waktu siang untuk meneliti data, bermesyuarat dan merancang strategi bagi memperbaiki ekonomi negara.

Manakala waktu malam pula beliau terpaksa mengunakan masa berkenaan bagi menjawab pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh ahli politik Perikatan Nasional (PN).

“Waktu siang saya dihabiskan meneliti data ekonomi terkini, berunding dengan pemegang taruh berbeza dan merangka penyelesaian kepada masalah struktur.

“Waktu malam pula saya kena berhadapan dengan tuduhan dari walaun PN bahawa Kerajaan Perpaduan tak buat apa dan tiada hala tuju ekonomi,” ciap beliau di Twitter.

Sementara itu, Rafizi sekali lagi menolak tuduhan pembangkang kononnya ekonomi Malaysia terus merosot.

Beliau menegaskan berdasarkan data terkini dakwaan yang dibuat oleh pemimpin PN ternyata salah.

Menurutnya, sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pertumbuhan ekonomi negara merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

Angka tersebut lebih baik berbanding dengan jiran-jiran seperti Indonesia (5%), China (4.5%), dan Vietnam (3.3%).

Beliau turut menolak dakwaan kononnya tiada sebarang pelan dilakukan bagi memperbaiki ekonomi negara sedangkan pelbagai rancangan telah diumumkan oleh kerajaan.

Ini termasuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga yang kini sedang dimuktamadkan.

“Saya akan menumpukan seterusnya usaha untuk menaikkan gaji rakyat menerusi dasar gaji progresif supaya kita boleh terus membantu rakyat menangani kos sara hidup.

“Dasar gaji progresif akan ada cabarannya tetapi kalau kita ada niat baik untuk bantu rakyat dengan rancangan yang tepat, kita mampu laksanakannya,” kata Rafizi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast