Kon Yeow (kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada program Walkabout di New World Park di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan pengumuman pucuk pimpinan DAP mengekalkannya sebagai ketua menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat menghentikan segala spekulasi berkaitan isu tersebut.

Jelas beliau, keputusan tersebut juga secara langsung membolehkan beliau memberi fokus dalam memperkasakan jentera parti untuk menghadapi PRN.

“Saya amat bersyukur mendapat kepercayaan daripada pimpinan tertinggi parti DAP yang mencalonkan saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya pengundi-pengundi memilih kita untuk terus mentadbir.

Chow Kon Yeow.

“Malah saya juga menghargai sokongan Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merestui pencalonan saya.

“Bagaimanapun, yang penting untuk saya adalah memimpin jentera untuk menang sokongan rakyat dalam PRN demi meneruskan pembangunan Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di Program Walkabout di New World Park hari ini.

Kon Yeow akan meneruskan segala usaha yang telah dimulakan sejak tahun 2018 dan sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk membawa negeri dan rakyat ke tahap pembangunan yang tinggi.

“Saya mengambil kesempatan untuk merumuskan pencapaian kerajaan negeri dan rancangan seterusnya selepas memperolehi mandat baru daripada pengundi-pengundi,” katanya.

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, Kon Yeow dinamakan Ketua Menteri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Keputusan sebulat suara itu diutarakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke selepas mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti termasuk Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Anthony berkata, jawatankuasa sama juga memutuskan akan membuat pembaharuan besar dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk mentadbir semula. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kon Yeow dinamakan Ketua Menteri P.Pinang jika PH menang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast