GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan perbuatan membiarkan ayat-ayat suci di tempat kotor tidak sepatutnya berlaku.
Ia susulan tular gambar dua kepingan batu dengan tertera tulisan jawi dijadikan pelapik tidur anjing di sebuah premis perkakasan di Teluk Ayer Tawar, Butterworth di sini.
Jelas beliau, perbuatan meletakkan ayat-ayat suci di tempat yang tidak selayaknya menunjukkan pelakunya mengalami kepudaran iman dan keterhakisan taqwa.
“Perbuatan membiarkan ayat-ayat suci berada di tempat yang tidak sesuai apa lagi di tempat yang kotor tidak sepatutnya berlaku di depan mata orang Islam.
“Jika sesiapa yang melihat ayat al-Quran diletakkan di tempat sedemikian maka wajiblah dia memungutnya dan meletakkannya di tempat yang bersih dan sesuai dengan kemuliaannya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Wan Salim, umum mesti mengetahui bahawa di dalam kehidupan ini ada perkara-perkara suci (muqaddasat) yang perlu dihormati.
“Ini terutamanya nama Allah itu sendiri, kitab suci, buku agama serta tulisan dalam bahasa Arab dan Jawi.
“Jika bahan-bahan ini tidak boleh dimanfaatkan lagi kerana telah lusuh atau usang maka ia hendaklah dilupuskan dengan cara dibakar dan abunya dikambus dalam bumi atau dihanyut ke sungai atau dibuang ke dalam laut.
“Sehubungan itu, sama-samalah kita memelihara ayat-ayat suci daripada dihina oleh orang-orang yang jahil,” katanya.
Terdahulu, polis membuka siasatan berhubung gambar tular menunjukkan dua kepingan batu tertera tulisan jawi dijadikan pelapik tidur anjing di sebuah kedai perkakasan (hardware) di Telok Ayer Tawar di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya telah terkesan tiga keping gambar tular di Facebook Kementerian Netizen Malaysia berhubung kejadian itu semalam.
Jelasnya, susulan itu, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki hari ini yang mendakwa melihat satu hantaran TikTok daripada akaun isterinya berkenaan gambar sama. – MalaysiaGazette
Polis siasat batu tertera tulisan jawi dijadikan pelapik tidur anjing