peranan ulama UMNO
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Masjid dan surau ialah platform perpaduan dan penyatuan ummah kepada mereka yang sama-sama bersyahadah dan sujud kepada Allah.

Justeru, ia tidak wajar menjadi platform kempen politik kepartian, kata Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurutnya, umat Islam mempunyai pendirian politik kepartian yang pelbagai dalam konteks demokrasi di Malaysia.

“Harus dibezakan antara politik Islam yang menjadi bicara semua umat Islam dan di mana-mana tempat sekalipun dan politik kepartian yang perlu disudutkan pada tempatnya luar daripada masjid dan surau,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau memberi reaksi terhadap keputusan Terengganu menguatkuasakan larangan terhadap sebarang aktiviti melibatkan kempen pilihan raya atau program berunsur politik di mana-mana masjid atau surau di negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Selain Terengganu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut memberi amaran melarang masjid dan surau di negeri itu dijadikan pentas berpolitik dan pusat propaganda kepartian.

Sehubungan itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengingatkan pentadbir masjid dan surau supaya meningkatkan kawalan dan menguatkuasa semua larangan ditetapkan. – MalaysiaGazette