KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing antara sembilan individu diberkas polis kerana disyaki berperanan sebagai keldai akaun kepada pihak ketiga.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua suspek ditahan pada 12 Julai lalu menerusi satu operasi serbuan di sebuah premis di ibu negara.
“Hasil serbuan, seramai lapan lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing berumur antara 22 hingga 50 tahun berjaya diberkas.
“Pemeriksaan lanjut di dalam premis berjaya membawa kepada rampasan pelbagai jenis peralatan dan dokumen dipercayai digunakan untuk aktiviti keldai akaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Amihizam lagi, antara barang yang dirampas daripada adalah 11 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 14 keping kad ATM, satu unit modem, satu unit router, lima cop syarikat, enam keping kad sim dan lapan keping senarai nama dan akaun.
Selain itu, polis juga menjumpai sebanyak 13 keping salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiga keping slip kemasukan duit dan wang tunai pelbagai jenis mata wang berjumlah RM1,649.
Hasil pemeriksaan awal di lokasi serbuan mendapati terdapat unsur aktiviti mengumpul kad ATM, pengeluaran wang dan pemindahan perbankan dalam talian.
“Modus operandi adalah kumpulan sindiket ini berperanan membekalkan maklumat perbankan dan menyediakan online banking bagi akaun bank yang diperoleh daripada keldai akaun sebelum ia diserahkan kepada kumpulan sindiket yang lain.
“Wang hasil aktiviti tersebut akan dikeluarkan oleh ahli sindiket ini dan kemudian akan dihantar ke akaun yang diberikan oleh ahli sindiket melalui deposit tunai,” kata Amihizam.
Kesemua ahli sindiket terbabit kemudian menerima komisen sebanyak dua peratus daripada jumlah yang dikumpulkan.
Kesemua suspek berkenaan kini direman selama empat hari sehingga 16 Julai ini bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.
Siasatan bagi kes terbabit dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pada masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran wang tunai untuk menyerahkan maklumat akaun dan kad ATM yang tidak jelas dan menjanjikan tawaran yang terlalu menarik.
“Selain itu, jangan memberikan kad ATM atau maklumat akaun bank anda untuk digunakan oleh orang lain,” ujarnya.-MalaysiaGazette