Gambar hiasan.

IPOH – Seorang bayi perempuan berusia enam bulan yang dilaporkan koma selama dua hari selepas dipercayai didera pengasuh dilaporkan meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Derah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Rabu lalu memaklumkan menerima mangsa sebelum mengesahkan dia dalam keadaan koma.

Katanya, pihak hospital turut mengesahkan terdapat kesan lebam di badan mangsa dipercayai akibat didera.

“Susulan itu, polis menahan pengasuh sepenuh masa kepada mangsa masa berusia 52 tahun pada keesokan harinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek direman selama empat hari bermula hingga 17 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan atau menganiayai kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, Yahaya berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HRPB pada pukul 2.51 petang semalam.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.

“Susulan itu, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast