Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis menerima dua laporan berhubung isu tular melibatkan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang baru baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan diterima masing-masing daripada pihak HTAR dan satu lagi daripada bapa mangsa mengenai kematian anaknya dan mendesak siasatan kerana mendakwa berlaku kecuaian.

“Mangsa kanak-kanak berusia 10 tahun itu telah dibawa oleh ahli keluarga ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi dilaporkan telah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan dan kejadian ini juga telah tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hussein, berikutan laporan itu, polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 oleh Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah
IPK Selangor.

“Malah siasatan akan dilaksanakan secara terperinci, menyeluruh dan adil serta saksama terhadap aduan kedua-dua belah pihak iaitu hospital dan penjaga.

“Dalam perkara ini, PDRM tidak pernah menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, polis turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Natalie Anak Allin di talian 03-551 45222 atau 019-642 2985. – MalaysiaGazette