Saifuddin.

GEORGE TOWN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang disifatkan telah melanggar ‘garisan merah’ membabitkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan institusi diraja.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan khas dari Bukit Aman yang memfokuskan isu 3R sudah melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, dirinya tidak boleh mengulas mengenai keputusan Peguam Negara daripada segi pendakwaan kerana jabatan itu akan meneliti asas siasatan polis sebelum kemukakan keputusan untuk mendakwa.

“Biar pun peringatan telah diberi berulang kali namun masih berlaku pelanggaran red line dalam isu 3R dan watak yang sedang menjadi tumpuan adalah Menteri Besar Kedah.

“Saya berpendapat dalam ucapan terakhir beliau (Muhammad Sanusi) telah pun terlajak jauh atau dalam erti kata berlaku kalimat bernada penghinaan terhadap Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) serta mempersendakan tubuh lawan politik.

Saifuddin Nasution (tiga dari kiri) menyampaikan agihan zakat wakalah kepada anggota polis di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Mana boleh seorang pemimpin parti Islam, parti yang perjuangkan al-Quran, sunnah boleh terbabas begitu sekali terhadap saudara seagamanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Wakalah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut mempertikaikan sikap berdiam diri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak memberi sebarang teguran kepada Muhammad Sanusi.

Jelas beliau, tabiat menghina institusi diraja serta mempersenda lawan politik tidak dibenarkan dalam ajaran mana-mana agama terutamanya Islam.

“Setakat ini, hanya Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin buat teguran lembut terhadap Muhammad Sanusi. Presiden Pas diam seribu bahasa dan diam itu tanda merestui atau bersetuju, kalau tidak mesti Muhammad Sanusi sudah menerima teguran.

“Saksikan akhlak ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Abdul Hadi sakit dan ada orang mendoakan kemudaratannya, beliau terus meminta individu berkenaan meminta maaf secara umum.

“Jadi saya percaya bahawa jalan yang paling tepat bagi parti Islam ini adalah segera memperbetulkannya (tindakan Muhammad Sanusi),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast