JOHOR BAHRU – Lebih sejuta rakyat di negara ini telah menerima manfaat di bawah program Payung Rahmah sejak diperkenalkan pada April lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif itu mendapat sambutan pihak swasta dan industri meskipun ia bermula secara kecil-kecilan.
“KPDN telah mengenal pasti lebih sejuta penerima atau pun rakyat yang telah mendapat manfaat daripada inisiatif Payung Rahmah sejak ianya diperkenalkan sehingga semalam.
“Apa yang ingin saya katakan adalah di mana sekarang ini kerajaan sedang ke arah untuk menyediakan Pelan Ekonomi Rahmah dengan beberapa industri.
“Ia ternayata mendapat sokongan terhadap inisiatif Payung Rahmah,” ujarnya selepas melancarkan Inisiatif Rahmah bersama Zero Healthcare Sdn Bhd di Paradigm Mall hari ini.
Menurut Salahuddin, industri berkaitan penjagaan kesihatan juga tampil ke hadapan untuk memberikan sumbangan mereka terhadap inisiatif Payung Rahmah.
Sementara itu, syarikat Zero Healthcare Sdn Bhd yang mengeluarkan peralatan kesihatan seperti mesin urut, mesin berlari dan peralatan gim berjenama Malaysia menawarkan pembelian secara ansuran tetap dan potongan harga sehingga 35 peratus.
Demi menyokong program itu, syarikat berkenaan menjual mesin berlari (threadmill) pada harga RM899 berbanding harga asal RM2,098. -MalaysiaGazette