Najwan
Najwan Halimi

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Keadilan Shah Alam, Najwan Halimi memohon maaf berikutan komen ‘parti India estet’ yang dilontarkannya dalam mesej WhatsApp dalam group ‘Keadilan’.

Komen berkenaan berkaitan pengumuman Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang meletakkan calon berketurunan India, Sivaranjani Manickam bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Meru, Selangor.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tulisan tersebut.

“Dan ia merupakan tanggapan dangkal saya terhadap PSM yang selama ini saya kenali sebagai sebuah parti politik yang paling ke hadapan dalam menjuarai isu-isu masyarakat India khususnya yang tinggal dan bekerja di estet.

“Kedangkalan ini saya akui adalah dari kelemahan dan kekurangan saya yang tidak mengenali PSM secara dekat dan mendalam,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, tangkap layar komen bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik dalam kumpulan WhatsApp itu tular di media sosial.

Rata-rata netizen beranggapan komen tersebut bersifat rasis dan menyentuh isu sensitif 3R iaitu kaum, agama dan raja.

Keratan layar yang tular di media sosial

Najwan menegaskan beliau bukan bersifat perkauman dan tidak prejudis terhadap mana-mana bangsa termasuk berketurunan India.

Sebagai pemimpin Najwan  sentiasa menjaga kebajikan serta mengambil pendekatan bersikap adil dan mesra terhadap semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau telah menghubungi Setiausaha Agung PSM, A. Sivarajan untuk memohon maaf kepada pimpinan serta anggota parti yang tersinggung dan salah faham terhadap kenyataan tersebut.

“Justeru, saya sekali memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang kenyataan yang dikeluarkan di masa akan datang,” kata Najwan.

Beliau berharap isu tersebut dapat dinokhtahkan secara baik dan memberi jaminan ia tidak akan berulang di masa akan datang.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast