Seorang pelajar universiti maut selepas terjatuh dari kondominium di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Seorang pelajar sebuah universiti awam  di Shah Alam ditemui maut dipercayai terjatuh dari bangunan kondominium di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsey Anak Embol berkata, kejadian berlaku sekitar 5.47 petang di kondominium yang dipercayai dihuni wanita itu di Seksyen 7, Shah Alam.

Katanya, si mati dikenalpasti berusia 23 tahun.

“Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat empat iaitu tempat letak kenderaan di bangunan tersebut dan maut dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah.

“Pemeriksaan lanjut polis dan forensik tidak menemui unsur-unsur jenayah dan hasil temubual dengan kakak mangsa memaklumkan mangsa mengalami tekanan perasaan dan mendapat rawatan sakit mental kali terakhir pada 10 Julai lalu di Hospital Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ramsey, buat masa ini kes telah diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan kes ini, boleh disalurkan kepada SM Shafawi di talian 011-336 42465. – MalaysiaGazette