SUNGAI PETANI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta mana-mana pihak tidak memperlekeh usaha kerajaan mendekati golongan belia termasuk mahasiswa.
Beliau berkata ini kerana usaha itu adalah bagi mengetahui keperluan golongan belia yang boleh direalisasikan kerajaan.
“… hari Isnin sampai Jumaat di pejabat, Sabtu Ahad di lapangan, takkan nak duduk di Kuala Lumpur, Putrajaya tak ambil peduli, mana saya nak tahu apa keluhan mahasiswa, anak muda, anak-anak tingkatan enam, politeknik… tetapi bila kita dengar mereka, tindakan diambil.
“Anak-anak Tingkatan Enam misalnya, saya bagi contoh (ada menyatakan) ‘Datuk Seri, kami ini Tingkatan Enam, bukan budak sekolah, biarlah ada cara lain sikit, aturan lain sikit.
“Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek terus umumkan (pada 13 Julai) Tingkatan Enam tidak dikategorikan sebahagian sekolah, dianggap Kolej Pra-Universiti, maknanya kita dengar,” katanya ketika berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa di sini hari ini.
Anwar juga berkata kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi di negara ini untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet dengan lebih luas dan pantas di kampus untuk memudahkan proses pembelajaran.
“Saya melawat universiti dan mendengar rungutan mahasiswa yang bertanyakan ‘Datuk Seri, macam mana nak belajar, sedangkan Internet perlahan?’ Jadi, apabila Elon Musk bercakap dengan saya (semalam), saya bagi tahu (Menteri Komunikasi dan Digital) Fahmi (Fadzil) untuk membeli peranti Starlink dengan segera, kita akan pasang di mana sahaja universiti yang memerlukan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri mengadakan persidangan video dengan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc dan SpaceX Elon Musk.
Beliau berkata kerjasama Malaysia dengan Musk akan membuka puluhan ribu peluang pekerjaan tenaga mahir di negara ini susulan persetujuan yang diberikan untuk melabur secara besar-besaran termasuk membuka ibu pejabat Tesla Inc di Cyberjaya.
Anwar berkata Musk juga bersetuju menjalin kerjasama dengan kerajaan melibatkan SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink dan kenderaan elektrik.
“Selain itu, tentang Starlink, ia melibatkan akses kepada Internet dan kesalinghubungan, kita bersetuju (kerjasama ini) akan memberi ruang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah-sekolah dan universiti untuk mendapatkan Internet secara langsung yang murah.
“Malah Elon nyatakan dalam hal ini (Starlink), walaupun 40 (satelit) disediakan awal tapi beliau beri pengakuan sebentar tadi untuk keutamaan diberikan kepada Malaysia,” katanya.- BERNAMA
sesuai sesuai sesuai ANWAR IBRAHIM tukang tukar JENAMA.. product sama, dari slogan hinggalah kepada kementerian dan social serta bantuan…. TUKAR SEBUTAN sahaja. JASA BESAR ANWAR naikkan tarif electric naik harga barang mansuh subsidi… rakyat merana ringgit berderai.
Ketua Kampong Ketua Persatuan Penduduk Ketua Persatuan/NGO Ketua/Pengerusi/Imam dan pelbagai lagi pun melalui sumber-sumber “pembantu”… ANWAR IBRAHIM long ranger kesana kesini… please please please jadilah yang berguna sikit….