REE sanusi
Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Memetik laporan Buletin TV3, beliau memberitahu, tindakan itu diambil ekoran kenyataan Saifuddin berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) dan isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS.

Muhammad Sanusi mendakwa, maklumat yang dinyatakan Saifuddin itu tidak benar, bersifat mengelirukan serta berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.

Menurut beliau, Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bukan dikompaun atas kesalahan mencuri mineral berkenaan tetapi disebabkan agensi berkenaan adalah pemegang permit ladang hutan di kawasan yang berlaku kecurian.

“Satu permit penggunaan telah dikeluarkan atas nama MBI yang melantik satu syarikat usaha sama untuk membangunkan ladang hutan, bukan syarikat tersebut yang dikompaun.

“Yang dikompaun adalah pihak ketiga yang menceroboh dan melakukan kegiatan mencuri (REE). Dalam dokumen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terdapat nama individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965,” katanya selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah di Bandar Baharu, Kedah, hari ini.

Saifuddin membuat dakwaan tersebut ketika berucap pada Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak di Jerai, malam tadi.

Muhammad Sanusi menambah, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis dan tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Tak kira menteri tak menteri saya akan saman. Tapi menuduh saya mencuri itu clear cut saya akan mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.

Muhammad Sanusi memberitahu, beliau mempunyai dokumen lengkap mengenai kesemua isu berkenaan dan menasihatkan agar Saifuddin tidak mencampuri urusan kementerian lain.

Sementara itu, beliau berkata, baki peruntukan MARRIS yang tidak dibelanjakan sebanyak RM259 juta masih disimpan dalam simpanan tetap kerajaan negeri dan ia dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Muhammad Sanusi berkata, tidak berlaku salah guna peruntukan seperti yang didakwa oleh Saifuddin manakala isu yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara adalah baki peruntukan sebelum 2014.

“Jika hendak dikatakan menyalahi tata kelola pengurusan kewangan, salah laku ini berlaku sebelum tahun 2014 bukan semasa pentadbiran kerajaan saya,” katanya. – MalaysiaGazette