MADRID – Kebakaran hutan di pulau La Palma di Sepanyol telah memusnahkan sekitar 4,500 hektar tanah, serta memaksa beribu-ribu orang berpindah, menurut perkhidmatan kecemasan tempatan pada Sabtu.
Kebakaran, yang berlaku pada awal pagi Sabtu, telah memusnahkan kawasan berhampiran perbandaran Puntagorda di wilayah barat laut Kepulauan Canary.
Presiden Kepulauan Canary, Fernando Clavijo berkata, lebih 2,000 orang telah dipindahkan dan angin pada kelajuan lebih 60 km sejam dijangka menyemarakkan lagi kebakaran, lapor Xinhua.
Kerajaan wilayah Kepulauan Canary melaksanakan Pelan Kecemasan Perlindungan Awamnya bagi Kebakaran Hutan, tetapi api merebak dengan pantas.
Menurut laporan media tempatan, perkhidmatan bomba kini sedang bertungkus lumus memadamkan api termasuk dengan bantuan helikopter.
Lebih ramai anggota bomba telah dikerah dari pulau berdekatan Tenerife.
Unit Kecemasan Tentera Sepanyol juga dijangka tiba dalam beberapa jam akan datang.
Sepanyol mengalami musim bunga yang sangat kering, dengan Mac dan April mencatatkan rekod suhu tinggi dan hujan yang rendah. – Bernama-Xinhua