Mohd Noorazam Osman

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengutip 73.79 tan sampah di Sungai Tebrau sepanjang bulan lalu membabitkan kos sebanyak RM86,000.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, secara purata, sebanyak tiga pusingan pembersihan perlu dilakukan pihaknya pada setiap hari bagi mengelakkan sungai tersebut dipenuhi sampah sarap.

“Jika dihitung secara kasar, MBJB perlu memperuntukkan sebanyak RM1.03 juta setahun hanya untuk kerja-kerja memungut sampah di sungai ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Mohd Noorazam berkata, Sungai Tebrau mempunyai potensi besar untuk dijadikan sebagai aset bernilai tinggi bagi sektor pelancongan yang diambil kira dalam kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) tersebut.
Tambah beliau, pakej pelancongan semula jadi dan sukan air boleh diwujudkan bagi mempromosikan sungai berkenaan sebagai salah satu produk pelancongan alam semula jadi di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru yang bersempadanan dengan Singapura.
Katanya, ia akan meningkatkan ekonomi penduduk setempat selain meningkatkan kualiti visual melalui projek pengindahan Sungai Tebrau yang dicadangkan di dalam RKK itu. – MalaysiaGazette