Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak menerima sebarang arahan untuk menyekat akaun TiTok rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Suruhanjaya itu menerusi kenyataan memaklumkan, tuduhan Sanusi itu telah diteliti dan mengesahkan tiada arahan untuk melakukan perkara tersebut.

“Platform-platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti (Community Guidelines) yang menentukan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut, mahupun berdasarkan aduan orang ramai.

“Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa akaun TikTok miliknya yang dikatakan sudah ‘dipadam’ masih lagi boleh diakses di luar negara.

Sanusi mendakwa sedemikian menerusi satu kenyataan ringkas di Facebook hari ini.

Difahamkan Sanusi berkata demikian susulan dakwaan seorang individu di ruangan komentar seperti dalam gambar tangkap layar yang dimuat naik bersama hantaran berkenaan.

Komentar individu itu mendakwa halangan (blok) akaun TikTok menteri besar tersebut dikatakan hanya ‘berkuat kuasa’ di Malaysia sahaja. – MalaysiaGazette