JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menjalani pembedahan bahu kanan di Hospital Pakar Damansara 2 pada 18 Julai ini.
Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli berkata, baginda berharap rakyat tidak berasa bimbang serta berdoa agar semua rakyat dikurniakan rahmat dan perlindungan oleh Allah SWT.
“Tuanku bertitah baginda akan tetap berangkat ke acara Kembara Mahkota Johor dan lain-lain acara yang telah dijadualkan berlangsung pada bulan depan.
“Tuanku bertitah, selepas menjalani pembedahan di bahu kanan, baginda kemungkinan akan dinasihatkan oleh doktor pakar untuk memakai selempang (sling) bahu buat seketika,” kata beliau, hari ini.
Menurut Abdul Rahim, Sultam Ibrahim bertitah pembedahan tersebut tidak menghalang baginda untuk menjalankan tanggungjawab untuk berangkat dan bertemu rakyat di setiap daerah.
Tambah beliau, Jumaah Majlis DiRaja Johor menyeru seluruh rakyat bersama mendoakan semoga Sultan Johor selamat menjalani pembedahan serta pemeriksaan kesihatan dan dikurniakan keafiatan berpanjangan. – MalaysiaGazette