Zafrul Sungai Kandis
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – United Kingdom (UK) hari ini secara rasmi menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang turut dianggotai oleh Malaysia serta 11 negara pengasas lain, sekali gus menjadi perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama UK-Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah mewakili Malaysia pada majlis pemeteraian Protokol Penyertaan yang berlangsung di Auckland, New Zealand sempena Mesyuarat Suruhanjaya Menteri-Menteri CPTPP Ke-7.

Mengulas perkara itu, Tengku Zafrul berkongsi harapan Malaysia untuk melihat impak manfaat bagi kalangan pengeksport dan perniagaan berikutan sejurus pelaksanaannya, eksport Malaysia akan terus menikmati aspek layanan istimewa bebas cukai membabitkan 94 peratus daripada garis tarif.

Ini termasuk eksport dengan kepentingan tertentu khususnya minyak sawit, koko, getah, elektrik dan elektronik serta bahan kimia, katanya dalam satu kenyataan.

“Langkah UK memeterai Protokol Penyertaan itu adalah tepat pada masanya kerana memberi petunjuk jelas kepada dunia mengenai manfaat menjadi anggota CPTPP termasuk dari segi komitmen pihak terbabit ke arah sistem dagangan pelbagai hala yang terbuka, berasaskan peraturan serta liberal.

“Malah, penyertaan UK itu juga membuktikan wujudnya permintaan serta nilai sebenar bagi perjanjian dengan standard tinggi ini,” katanya.

Selain detik bermakna itu, Malaysia turut menyertai negara anggota CPTPP lain dalam meraikan penguatkuasaan perjanjian itu bagi Chile pada 21 Feb, 2023 dan Brunei Darussalam pada 12 Julai, 2023.

Pada mesyuarat itu juga, Tengku Zafrul berkata beliau telah menegaskan pengesahan berterusan Malaysia terhadap standard CPTPP yang tinggi serta penekanan kepentingan berkaitan semakan semula dalam menyokong usaha memanfaatkan perjanjian itu secara maksimum, terutama oleh perniagaan serta rakyat Malaysia.

Jelas beliau, ini termasuk menggalakkan usaha penyepaduan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara kukuh ke dalam rantaian bekalan global.

Beliau berkata, kalangan menteri terbabit turut membincangkan peluang yang boleh ditinjau serta pengukuhan perjanjian tersebut dalam bidang seperti ekonomi digital dan hijau, dengan mengambil kira perkembangan aspek itu di peringkat global.

“Barisan menteri-menteri itu juga menyatakan sokongan terhadap usaha memperluas CPTPP kepada ekonomi yang komited terhadap objektif perjanjian serta pematuhan penuh peraturan standard tinggi dan komitmen bagi akses pasaran yang komprehensif.

“Turut dibincangkan adalah kemajuan pelaksanaan dan kerjasama pihak terbabit di bawah CPTPP serta aspek hala tuju dari segi proses penyertaan ekonomi yang berminat,” katanya.

Malaysia telah bertindak memuktamadkan perjanjian CPTPP pada September 2022 dan menjadi anggota kesembilan daripada 11 negara yang meratifikasi perjanjian berkenaan.

Dokumen yang sebelum ini dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, telah ditandatangani pada 2018 oleh negara-negara termasuk Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast