Foto Instagram Azah Aziz.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan model terkenal era 1990-an, Azah Aziz akhirnya kembali pulang ke Malaysia untuk menjalani kehidupan bersama suami serta tiga orang anak lelakinya selepas lebih 20 tahun berhijrah ke Kanada.

Menerusi beberapa hantaran yang dikongsikan Azah atau nama lengkapnya Norazah Aziz, 50, dalam Instagram, dia bersama keluarga sudah pun berangkat  untuk kembali menetap di Malaysia sejak semalam.

“Selamat tinggal Montreal, Kanada,” tulisnya yang turut disertakan tanda pagar #newbeginning (permulaan hidup baharu) dan #backtomycountry (pulang ke negara sendiri).

Dalam hantaran berbeza, selebriti berkulit hitam manis itu turut berkongsi momen ketika dia bersama keluarganya berada di lapangan terbang dengan membawa bersama beberapa buah beg bersaiz besar.

Menerusi ruangan kapsyen, Azah mengambil keputusan untuk kembali pulang ke tanah air untuk menjalani kehidupan baharu bersama suami serta anak-anaknya dan mengakui akan merindui rakan-rakannya di Kanada.

“Permulaan hidup baharu. Saya akan merindui rakan-rakan di Montreal,” ujarnya.

Menerusi hantaran terbaharu, pelakon yang pernah membintangi drama Cinta Korporat itu kini berada di Dubai sebelum menyambung perjalanan untuk pulang ke Malaysia.

Azah mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang juga warganegara Perancis, Daud Leroy Abdullah pada 7 Januari 1995 dan berhijrah ke Montreal, Kanada.

Hasil perkongsian hidup selama 28 tahun, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aaron, 26, Ryan, 20 dan Justin, 17. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast