Nancy (kanan) melihat aktiviti yang dilakukan penghuni Pusat Jagaan Damai Permai di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Kerajaan menggalakkan lebih banyak pusat penjagaan warga emas swasta diusahakan bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat.

Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkhidmatan itu sebagai alternatif kepada rumah-rumah orang tua yang dibiayai kerajaan terutamanya bagi perkhidmatan penjagaan harian.

Perkembangan itu juga seiring dengan misi KPWKM dalam menggalakkan perkembangan ekonomi kepedulian (care economy) dan pembangunan institusi keluarga.

Nancy.

“Pusat jagaan swasta masih kurang biar pun ramai yang memerlukan dan mahu menggunakan perkhidmatan ini.

“Sudah lama pusat jagaan di bawah kelolaan kerajaan wujud, namun bagi anak-anak yang mampu mendapatkan perkhidmatan lebih baik, mereka boleh memilih menghantar ibu bapa ke tempat swasta.

“Pusat jagaan secara persendirian menawarkan suasana lebih selesa, bersih dan selamat,” katanya selepas melakukan lawatan ke Pusat Jagaan Damai Permai di sini hari ini.

Tambah Nancy, pusat jagaan swasta tidak hanya memberi tumpuan kepada penempatan warga emas semata-mata malah turut menyokong keperluan gaya hidup masyarakat berkerjaya.

“Anak-anak boleh menempatkan ibu bapa secara harian ketika keluar bekerja atau oustation untuk sementara waktu.

“Selain itu, ia menawarkan perkhidmatan jagaan kepada pesakit (pelbagai peringkat usia) yang memerlukan penjagaan rapi,” katanya

Sehingga kini, terdapat 393 pusat jagaan warga emas swasta di seluruh negara yang berdaftar dengan kementerian itu mengikut Akta Pusat Jagaan 1993. – MalaysiaGazette