SHAH ALAM- Projek pembangunan Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH) di Seksyen 16, di sini dengan nilai pelaburan kira-kira RM2 bilion dijangka mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2028, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata hab logistik itu dimiliki sepenuhnya oleh Global Vision Logistics Sdn Bhd (GVL) yang akan dibina di atas tapak seluas 28.73 hektar, dengan fasa pertamanya dijangka siap pada 2025.
“Saya melihat pembangunan hab ini sebagai satu cara untuk menambah lagi peluang pekerjaan untuk masyarakat Selangor khususnya dan untuk fasa pertama, 3,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran SAILH di sini hari ini.
Fasa pertama SAILH merangkumi kompleks gudang setinggi empat tingkat, kemudahan tempat letak kereta empat tingkat dan pejabat satu tingkat di samping bangunan tambahan termasuk kerja-kerja pengujian dan pentauliahan.
Bernama sebelum ini melaporkan IJM Construction Sdn Bhd telah memenangi kontrak daripada GVL bernilai RM653.6 juta untuk membangunkan fasa pertama SAILH, yang merupakan hab logistik bertauliah hijau pertama di negara ini dan antara yang terbesar di rantau Asean.
Amirudin dalam pada itu berkata sektor perkhidmatan di negeri itu dilihat semakin menarik dan dijangka terus berkembang dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.
“Sektor perkhidmatan menyumbang kepada 60 peratus kepada pembangunan ekonomi Selangor dan pertumbuhannya meningkat 13 peratus, berpadanan dengan trend global.
“Selangor juga sedang menuju dan hampir menyaingi Singapura dari segi pecahan atau pun beralih dari (sektor) pembuatan kepada perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, mengulas laporan media berkenaan projek perumahan Rumah Selangorku yang terbengkalai di Morib, Kuala Langat, beliau berkata projek itu telah dirujuk kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan selanjutnya.
“Projek perumahan terbengkalai ini merupakan salah satu isu yang perlu diselesaikan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Itu memang sedang diteliti oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan kita sedang mengambil beberapa tindakan yang agresif.
“Kita tak banyak projek sebegitu, (projek perumahan) Morib adalah salah satu yang besar. Jadi saya akan minta pihak KPKT terutamanya memasukkan projek itu sebagai yang boleh diselesaikan,” katanya.
— BERNAMA