KUALA LUMPUR – Kerajaan sewajarnya menghantar wakil ke Arab Saudi untuk memohon membatalkan pengharaman Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang daripada memasuki negara tersebut.
Menurut veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, kerajaan patut mempertimbangkan cadangan berkenaan sekiranya memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya di enam negeri.
“Sekiranya ada kemenangan besar untuk Kerajaan Perpaduan dalam enam pilihan raya negeri ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim patut mempertimbangkan untuk menghantar perwakilan ke Arab Saudi untuk meminta Kerajaan Saudi membatalkan pengharaman ke atas Presiden Pas Hadi Awang.
“(Ini) supaya Presiden Pas dapat memahami pertembungan di antara golongan Islamis yang berfikiran terbuka dengan mereka yang bersifat ekstremis di Timur Tengah,” kata Kit Siang dalam kenyataan.
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau masih merasa hairan dan misteri bagaimana Abdul Hadi menjalankan tugas sebagai Duta Khas ke Timur Tengah dari tahun 2020 hingga 2022.
Ini kerana menurut beliau, Abdul Hadi diharamkan daripada menjejakkan kaki ke Arab Saudi dan beberapa negara lain di Timur Tengah.
Sementara itu Kit Siang meminta supaya ahli Pas melihat ke negara Timur Tengah dan Afrika Utara seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir, Iran, Iraq, Lubnan, Maghribi dan Tunisia.
Negara tersebut katanya, mempunyai agenda reformasi yang berani untuk memodenkan kawasan serantau, memajukan institusi sosial dan mempelbagaikan ekonomi.
Bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, majoriti besar rakyat di negara tersebut menyokong agenda reformasi dan menolak ideologi pergerakan keagamaan yang dipolitikkan.
Mereka memilih kerajaan yang pragmatik yang boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda, menambah baik institusi keagamaan dan meningkatkan perkhidmatan awam seperti kesihatan dan pendidikan.-MalaysiaGazette