Datuk Seri Salahuddin Ayub

ALOR GAJAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menunggu kelulusan Kabinet untuk menaik taraf status Bahagian Penguatkuasanya menjadi sebuah jabatan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha itu penting sejajar dengan cabaran tugas dihadapi bahagian berkenaan yang bukan sahaja terhad kepada memastikan keterjaminan makanan.

“Saya difahamkan kertas Kabinet telah pun dibawa dan mendapat persetujuan untuk langkah seterusnya, dalam tempoh ini semua sedia maklum keterjaminan makanan itu bukan sekadar mesti ada tetapi juga kawal selia penguatkuasaan.

“Sebagai contoh, untuk kita mengawal barang-barang subsidi daripada terus bolos di sempadan, saya rasa dari segi logistik, kekuatan fizikal dan kekuatan bahagian-bahagian penting seperti risikan adalah menjadi keperluan buat masa ini.

“Ini memerlukan kekuatan sebagai sebuah jabatan berbanding bahagian yang ada pada hari ini dan kita sedang menunggu lampu hijau atau isyarat kepada pihak kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perbarisan Kawalan Kehormatan sempena Hari Penguat Kuasa KPDN ke-51 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasa Tahun 2023 di Kem Permata Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh; Ketua Setiausaha KPDN, Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, penaiktarafan itu juga penting supaya dalam memastikan isu keterjaminan makanan serta barang keperluan dapat dikawal dengan lebih pantas dan sistematik.

Jelasnya, dengan penaiktarafan status daripada bahagian kepada sebuah jabatan jelas bakal mengangkat martabat kumpulan penguatkuasa sekali gus membantu pasukan itu menerusi pelbagai aspek termasuk peruntukan dalam meningkatkan operasi penguatkuasaan. – MalaysiaGazette