Fotoh Ihsan PDRM Keningau

KUALA LUMPUR – Padah menyamar sebagai anggota polis, seorang lelaki ditahan polis di sekitar bandar Keningau, Sabah, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, suspek warga tempatan berusia 22 tahun itu ditahan ketika memakai preman dan vest warna hijau tertera tulisan ‘polis’.

“Tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau ketika semasa menjalani penugasan OP Samseng Jalanan pada jam 2 petang.

“Ketika diminta menunjukkan identiti polis dan kad pengenalan bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan, suspek gagal kemukakan kepada polis.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyatan.

Tambah beliau, pasukan polis turut membuat rampasan beberapa barangan lain serta motosikal yang ditunggang suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam. – MalaysiaGazette