PUTRAJAYA – Malaysia perlu mempunyai hasrat menjadi sebuah negara berkuasa tengah atau middle power, dengan mempunyai polisi yang pragmatis dalam mendepani cabaran geopolitik dunia.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, walaupun Malaysia bukan negara kuasa besar tetapi ia terletak di kawasan yang strategik iaitu antara Laut China Selatan dan Selat Melaka.
“Kita tidak boleh dilihat sebagai kuasa yang kecil dan tidak memberi apa-apa kesan kepada ekonomi negara lain. Jadi di sinilah peranan penting untuk Malaysia laksanakan dalam melihat persekitaran (geopolitik).
“Tetapi dalam masa yang sama, dasar-dasar berkecuali Malaysia sangat mustahak supaya kita tidak dilihat sebagai sebuah negara yang terlalu ke kanan atau ke kiri atau menyokong mana-mana negara kuasa besar, yang akan memberi impak yang tidak seimbang kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negara (CCFP) Bilangan 2, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perbincangan CCFP, Zambry berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai kedudukan ekonomi dunia dan perkara semasa di peringkat global.
“Antara cabaran besar ialah kita melihat tentang kedudukan ekonomi dunia, projeksi tentang ekonomi dunia pada masa kini dan juga di masa akan datang dalam tempoh terdekat ini.
“Ianya dibentangkan dari segi kedudukan pertembungan kuasa ekonomi termasuk juga antara kesan terhadap Malaysia termasuk China dan Amerika Syarikat (AS) dan isu-isu berkaitan yang diistilahkan sebagai ‘coupling’.
“Bagaimana setiap negara, mereka bersaing dan menyelamatkan (negara) dalam keadaan persaingan yang sengit dan apa akan terjadi pada negara kita, lokasi Malaysia di tengah-tengah persaingan yang ada ini,” katanya. – MalaysiaGazette